Tuesday, August 11, 2015

Rencana bertajuk "Garis Panduan Hiburan dalam Islam"

Pada asasnya yang dimaksudkan hiburan itu mestilah yang membahagiakan dan menggembirakan. Tentu sekali manusia yang siuman tidak mungkin rasa bahagia atau gembira apabila disajikan perkara yang salah atau yang membawa pada keburukan. 

Sebagai contoh ada sebahagian dari masyarakat menganggap menonton video lucah sebagai satu hiburan. Bila ini berlaku, sebenarnya manusia itu sudah hilang nilai kemanusian dan hanya bertindak atas sifat nafsu kebinatangan. Untuk dia rasa puas dan bahagia dengan perkara yang disukai syaitan, tentu sekali akan membawa padah bukan saja pada diri dia tetapi pada mereka yang sekeliling dengan akibat apa yang dia boleh buat seperti merogol dan lain-lain lagi.

Contoh di atas diberi untuk gambaran dengan apa yang dimaksudkan sebagai berhibur itu bergantung pada nilai manusia itu sendiri. Orang yang tidak beriman pada ketika itu akan pergi ke disco, minum arak dan menari demi mencari kebahagiaan. Anak muda soleh melihat bunga yang indah dan bersyukur pada Allah swt, melihat keindahan langit dan awan, dan rasa sungguh terhibur dengan mengingati Allah swt. 

Begitu juga yang dimaksudkan dengan istilah "seni". Kalau di Paris, wanita yang tidak ditutup oleh seurat benang, yang duduk di atas meja untuk dilukis oleh sekumpulan pelukis dipanggil seni. Kita orang Islam akan mengatakan yang ianya satu maksiat dan satu perkara yang dilarang oleh Allah swt . Tidak cantik tidak indah. 

Dari asas ini, demi menjaga kebaikan masyarakat, garis panduan syariat untuk industri hiburan menjadi satu keperluan yang amat sangat.

Kita sekarang dihujani dengan pelbagai jenis "hiburan" yang pada asalnya datang dari luar negara. Kita sudah melihat anak bangsa kita yang sudah lihat pertimbangan hukum Allah swt sanggup bergambar dengan mendedahkan tubuh badan atas nama seni. Kita juga sudah lihat pengagungan para artis yang saban tahun menyanyi lagu sia-sia yang mengajak manusia untuk melayan nafsu dan mengajak manusia lupa pada Allah swt. Kita juga melihat betapa banyaknya anugerah-anugerah yang diberi kepada mereka ini atas nama penghibur.

Soalannya, adakah benar yang dimaksudkan hiburan itu satu yang membahagiakan dan baik untuk manusia?

Kajian saya menemui beberapa kajian barat dan islam yang menunjukkan muzik dan alat muzik mempunyai kebolehan untuk merosakkan masyarakat. Bunyi dari gitar misalnya boleh mengakibatkan kelakuan luar jangkaan. Sheikh Hanza Yusuf menerangkan hubungan alat muzik dan kelakuan manusia dengan baiknya.

Kita juga ada kajian oleh American Academy of Pedritics yang telah mengumpul beratus kajian akan kesan muzik pada remaja. Mereka secara saintifiknya telah merumuskan bahaya muzik, antaranya menggalakan seks bebas antara remaja. 

Antara rumusan kajian ialah: "Satu kaji selidik yang dijalankan melibatkan 214 remaja mendedahkan bahawa terdapat perkaitan diantara tontonan video muzik dan tingkah laku seksual permisif (secara rela). "

" Satu kaji selidik yang dijalankan melibatkan 2760 remaja Amerika menunjukkan bahawa mendengar muzik dan menonton televisyen dan video muzik kerap dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku berisiko 68 dan penggunaan arak 85,86; hasil kajian ini disahkan oleh van den Bulck dan Beullens, 94 yang telah menunjukkan hubungan longitudinal di antara pendedahan remaja kepada video muzik dengan penggunaan arak semasa ke bar, pesta, kelab malam, dan sebagainya. "

Hubungkait antara kelakukan seksual permisif dan konsert muzik telah lama diketahui. Dari zaman Woodstock sehingga konsert-konsert hari ini, percampuran lelaki dan wanita dalam satu arena yang dihangatkan dengan petikan gitar dan dipalu oleh bunyi drum dan dinaikkan nafsu dengan alunan dan pujukan asmara penyanyi, membakar amarah muda mudi. Ini tidak lagi boleh dinafikan yang berlaku. 

Jika dikaji secara rasional dan berasaskan kajian-kajian saintifik dan penjelasan hukum, apa yang dibuat oleh JAKIM itu bertepatan dan seharusnya dibuat lebih awal lagi. 

Di barat, banyak kajian yang telah dijalankan oleh universiti terkemuka dan badan-badan bertauliah akan bahaya dan kesan buruk filem dan muzik pada manusia amnya kepada remaja dan kanak kanak khasnya. Di Malaysia, wujud juga beberapa kajian oleh beberapa universiti akan kesan muzik dan televisyen pada kecemerlangan anak bangsa. Sudah sampai masanya, kita pertimbangkan untuk mengadakan satu dasar hiburan negara yang bukan saja mengambil kira keperluan industri itu sendiri tapi juga sudut hukum Islam dan kebaikan anak bangsa. 

Apa guna kita ada banyak majlis anugerah hiburan jika saban tahun angka keruntuhan akhlak kian meningkat. Ya, kajian sainstifik dibarat telah mengatakan wujud hubungkait antara keruntuhan akhlak dengan muzik.

Sheikh Abd Kareem Khadaied
SUA PERSATUAN PENGGUNA ISLAM SEDUNIA.
0126217866



No comments:

Post a Comment