Samsudin A Rahim dalam Kertas kerja beliau bertajuk MEDIA DAN KONSTRUK SOSIAL : IMPLIKASI TERHADAP ISU SOSIAL REMAJA
Kegawatan moral atau moral panic wujud dalam masyarakat Malaysia hari ini dengan pendedahan isu dan masalah sosial berkaitan dengan remaja. Menurut Cohen (1987), gawat moral adalah satu keadaan dan episod yang muncul dan dianggap sebagai mengancam nilai dan kepentingan masyarakat. Gawat sosial ini seringkali dikaitkan dengan budaya remaja yang kerap kali dianggap sebagai devian. Media dikatakan memain peranan dalam menimbulkan kegawatan moral dengan menonjolkan perkara devian dan juga membesarkan kemungkinan kesannya. Dengan pertumbuhan ekonomi melebihi 8.4 peratus sejak lapan tahun yang lalu, penduduk Malaysia seharusnya mengalami kualiti hidup yang baik. Namun begitu, kesan sampingan yang tidak dijangka hasil daripada arus pembangunan yang pesat telah sedikit sebanyak menjejaskan kualiti hidup. Dalam ucapan menyambut tahun baru 1995, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepentingan membenteras gejala sosial seperti lepak, bohsia, penyalah gunaan dadah terutamanya di kalangan remaja. Pendedahan demi pendedahan tentang masalah remaja dengan sendirinya telah menjadikannya sebagai satu agenda penting negara untuk diselesaikan. Bermula dengan isu budaya lepak di kalangan remaja pada tahun 1993, timbul pelbagai isu seperti gadis bohsia, buang bayi, budaya punk dan sebagainya. Isu ini adalah tambahan kepada isu yang sedia ada seperti penagihan dadah dan kes HIV di kalangan remaja. Isu-isu remaja ini bukanlah sesuatu yang asing. Sebenarnya ia mempunyai rantaian kaitan antara satu sama lain. Kajian tingkah laku lepak di kalangan remaja (Samsudin, 1994) menunjukkan remaja lepak terbabit dengan penyalah gunaan dadah, menonton dan membaca bahan lucah, melakukan hubungan seks tanpa nikah, minum minuman keras dan sebagainya.
Remaja dan Media Ada pendapat mengatakan bahawa jumlah remaja yang terbabit dengan isu social ini adalah kecil bilangannya. Justeru itu, kita tidak perlu gawat kerana ia lebih merupakan satu tahap yang dilalui dalam alam keremajaan. Namun begitu kerajaan menganggap isu sosial remaja adalah serius kerana remaja adalah aset penting Negara yang akan menentukan kesinambungan kepimpinan dan kesejahteraan kualiti hidup negara ini.”
Remaja sentiasa mencari isyarat media untuk menentukan corak gaya hidup yang kontemporari. Apa yang terkini selalunya dipaparkan oleh media. Samsudin (1995) dalam satu kajian Muzik dan Remaja, mendapati remaja mengakui penyanyi pujaan mereka sedikit sebanyak mempengaruhi mereka dari segi pakaian, rambut, kelakuan, pergaulan dan pertuturan. Remaja di Amerika Syarikat pula menganggap Madonna sebagai agent of empowerment dan liberation for women (Lull, 1992). Sementara golongan dewasa menganggap penyanyi tersebut hanya memperagakan tubuh seksinya dan gimik kelakukannya untuk menjadi popular. Tidak dapat kita nafikan bahawa media adalah satu unsur yang penting dalam proses sosialisasi remaja. Sebahagian besar daripada waktu rehat remaja dihabiskan dengan penggunaan media. Media yang dianggap sebagai agen yang menerajui budaza popular sering kali berlumba-lumba untuk mendapatkan perhatian orang ramai terutama golongan muda. Kerap kali apa yang disajikan untuk remaja lebih tertumpu kepada apa yang menarik dan dikehendaki oleh remaja. Dalam konteks ini akan tertinggal nilai-nilai berita atau program yang boleh membentuk jati diri remaja.
Jika kita perhatikan program drama tempatan di televisyen lebih mementingkan unsur hiburan. Unsur pendidikan yang tergabung dalam unsur hiburan atau edutainment Remaja amat kurang sekali. Atas dasar itu beberapa pembicara sosial sejak kebelakangan ini mulai mmpersoalkan kemanakah arah drama-drama tempatan ingin membawa penonton. Tidak dinafikan juga banyak drama-drama yang mempunyai latar belakang sekolah dan universiti, tetapi latar itu hanya menjadi perhiasannya sahaja bukan kegigihan dan kepentingan institusi tersebut dalam hidup remaja.
Shamsudin bertanya “Adakah masalah sosial di kalangan remaja sebagai satu masalah jurang pengetahuan? Banyak cadangan diberi untuk memberikan didikan agama yang lebih, tanggungjawab kepada diri dan keluarga, kemahiran tentang sesuatu perkara dan sebagainya. Walaupun banyak kempen maklumat untuk menyedarkan mereka tentang bahaya HIV dan dadah, kita lihat angka penagih dan pembawa HIV semakin bertambah. Adakah pertambahan ini bermaksud mereka tidak punyai pengetahuan yang cukup tentang bahaya penagihan dan virus berkenaan?”
American academy of Pediatric melaporkan bahawa “ kesan muzik popular ke atas tingkah laku pula, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pemilihan sesetengah jenis muzik boleh dikaitkan dengan sesetengah tingkah laku,* contohnya perkaitan penggunaan dadah dan arak dengan muzik “rave” atau muzik elektronik di pesta tari-menari. Roberts et al telah menjalankan satu kajian pada 1997 di sebuah kilinik remaja, dan keputusannya mencadangkan bahawa penyebab utama risiko berkait muzik kepada remaja adalah mereka berasa atau beremosi negatif apabila mendengar sebarang jenis muzik, sepertimana diakui mereka sendiri. Pengkaji tersebut menjelaskan perkaitan di antara tindak balas emosi negatif kepada muzik dengan tindakan pengambilan risiko, seterusnya mereka juga mencadangkan bahawa penyebab tingkah laku berisiko sesetengah remaja ialah tindak balas emosi negatif, dan bukan jenis muzik.
Scheel and Westefeld menyokong cadangan ini pada 1999. Di dalam sesetengah kajian pula, muzik heavy metal dan sesetengah muzik rock telah dikaitkan dengan peningkatan risiko bunuh diri. Pernah dilaporkan di dalam kajian bahawa peminat muzik heavy metal mempunyai banyak masalah dengan pihak pengurusan sekolah dan guru-guru berbanding pelajar-pelajar yang bukan peminat muzik tersebut. Pendengaran muzik heavy metal juga dikaitkan dengan peningkatan kemurungan, tingkah laku berisiko delinkuen, merokok, dan masalah perilaku. Peminat muzik heavy metal dan rap menunjukkan kecendurangan lebih tinggi dalam tingkah laku melulu berbanding rakan sebaya yang bukan peminat muzik jenis tersebut. Sebuah kajian yang dijalankan untuk menyelami kesan kemungkinan muzik heavy metal yang mengandungi lirik seksual sama ada ganas ataupun tidak ke atas sikap lelaki terhadap perempuan mendapati mereka yang didedahkan kepada muzik heavy metal, sama ada dengan lirik seksual berbentuk ganas mahupun tidak, menunjukkan sikap sterotaip yang jauh lebih negatif terhadap perempuan berbanding kumpulan yang telah didedahkan kepada muzik klasikal. Seterusnya, di dalam sebuah kajian yang dijalankan oleh Fischer dan Greitemeyer, 42 lelaki yang mendengar lirik “misogynist” menunjukkan respon yang lebih agresif terhadap perempuan serta mempunyai persepsi yang lebih negatif terhadap mereka.
Di dalam sebuah kajian di mana remaja yang lebih menggemari muzik heavy metal dan rap dibandingkan dengan remaja yang menggemari muzik jenis lain, keputusannya menunjukkan bahawa kumpulan pertama menunjukkan markah semasa dan sekolah rendah di bawah paras secara konsisten, beserta siri sesi kaunseling bagi masalah akademik di sekolah rendah. Satu kajian yang dijalankan pada 1999 dengan satu sampel 345 ibu anak-anak di sekolah kebangsaan menunjukkan bahawa 47% daripada subjek ini mempercayai mesej berbentuk keganasan di dalam muzik rap menyumbang kepada keganasan di sekolah ; namun, berdasarkan satu laporan daripada Kaiser Family Foundation on parents, children, and the media pada 2007, 44 hanya 9% daripada ibu bapa yang mengambil berat tentang terdapatnya kandungan tidak sesuai di dalam muzik.
Pemilihan muzik heavy metal, rap, dan genre yang berkaitan di kalangan remaja seharusnya menjadikan kita lebih berwaspada tentang bahaya kesan pendedahan ini dan kecenderungan ke arah tingkah laku yang berisiko akibatnya. Remaja berisiko dan yang berasa terasing kerana kegagalan atau masalah lampau cenderung untuk menggemari muzik jenis ini, yang mungkin menggambarkan pandangan pesimis mereka terhadap hidup dan dunia.”
Kajian ke atas kesan pada video muzik telah melaporkan bahawa pendedahan kepada keganasan, mesej seksual, stereotaip seksual, dan penyalahgunaan bahan di dalam video muzik mungkin mengakibatkan perubahan besar dalam tingkah laku dan sikap penonton muda. Kerap menonton video muzik telah dikaitkan dengan peningkatan risiko mempercayai stereotaip palsu dan peningkatan persepsi kepentingan rupa paras dan berat badan di kalangan remaja perempuan. Di dalam kajian yang dijalankan untuk menilai reaksi pemuda lelaki yang didedahkan kepada video muzik rap atau seksis, subjek kajian dilaporkan semakin tinggi kemungkinannya untuk terlibat dalam perlakuan kekerasan, lebih mudah menerima penggunaan kekerasan, dan lebih mudah menerima penggunaan kekerasan terhadap wanita daripada subjek yang tidak didedahkan kepada video-video tersebut. Pada 1999 Kalof melaporkan pelajar-pelajar universiti yang didedahkan kepada video yang mempunyai imej stereotaip seksual menunjukkan penerimaan lebih tinggi terhadap hubungan yang bertentangan berbanding dengan mereka yang tidak didedahkan. Kaestle et al melaporkan pada 2007 bahawa dalam sekumpulan pelajar lelaki tahun tujuh dan lapan, menonton video muzik dan gusti profesional dikaitkan dengan peningkatan penerimaan rogol berpacaran.
Satu kaji selidik yang dijalankan melibatkan 214 remaja mendedahkan bahawa terdapat perkaitan di antara tontonan video muzik dan tingkah laku seksual permisif (secara rela). 76 Ia juga dilaporkan bahawa setelah remaja menonton MTV, sikap remaja terhadap seks sebelum perkahwinan lebih terbuka.
KERUNTUHAN AKHLAK DAN GEJALA SOSIAL DALAM KELUARGA;ISU DAN CABARAN Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor dariFakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia melaporkan.
Pengaruh barat ini dapat dilihat yang mana semakin menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini Isu Kemaksiatan dan Pelbagai Keruntuhan Akhlak Di Malaysia.
“…saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan iaitu personality yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorang individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara,”. Sumber: Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 2005.
Begitulah tingginya harapan dan hasrat yang digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia melalui kata-kata dan ucapannya. Namun begitu setelah negara kita merdeka 50 tahun dulu,adakah jiwa raga, minda dan tingkah laku rakyat Malaysia benar-benar merdeka?. Sebagai renungan untuk menjawab persoalan di atas, sebanyak 1.13 peratus remaja terlibat dengan kes buang bayi, 40 peratus menonton bahan lucah, 16 peratus berjudi, 70 peratus merokok, 14 peratus terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 25 peratus mengambil minuman keras, dan 18 peratus melakukan seks bebas (majalah Siti, 2006).
Dapatan ini merupakan satu angka yang amat membimbangkan dan boleh meruntuhkan kecemerlangan negara Malaysia. Keruntuhan akhlak yang menjadi ancaman rakyat Malaysia bermula dari diri individu itu sendiri…. Mereka juga tidak mempunyai identiti sendiri, mudah terpengaruh dan lebih mengagung-agungkan budaya kuning dari Barat. Sepatutnya mereka bangga dengan adat ketimuran yang terkenal dengan budi bahasanya.
Bersambung Bahagian 3
No comments:
Post a Comment