SUDUT KEEMPAT;
Allah juga berfirman:
Kewajipan (wajib musabbab) beramal dengan tarekat tasawuf, dapat juga kita lihat dari sudut al-barakah. Al-barakah dalam tasawuf hanya akan dapat melimpah ke dalam rohani seseorang murid dari syeikh mursyid yang silsilahnya bersambung-sambung hingga sampai kepada Rasulullah (s.a.w.). Menurut al-marhum syeikh Dr Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya al-Majmu’, seseorang yang belajar tasawuf tanpa guru mursyid, tidak akan dapat apa-apa makna atau darjat tasawuf walaupun darjatnya yang terendah.
Para sahabat Nabi s.a.w. menjadi sebaik-baik hamba Allah, kerana mereka sentiasa mendampingi baginda s.a.w. Oleh sebab itu maka kita diperintah oleh Allah dengan firmannya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ ٱلصَّٰدِقِينَ ١١٩
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan hendaklah kamu berserta dengan golongan sodiqin.”
Allah juga berfirman:
وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ
Maksudnya: “Hendaklah kamu ikut jalan (agama zahir dan batin) orang yang benar-benar kembali kepada Aku…” (surah Luqman: 15)
Dengan adanya syeikh mursyid, para muridnya boleh melakukan suhbah, iaitu sentiasa mendampingkan diri terhadap syeikhnya. Dalam konteks suhbah tersebut, syeikh mursyid dapat memainkan peranan penting dalam memperbaiki berbagai ‘uyubun nafsi atau berbagai penyakit hati. Oleh sebab itu syeikh mursyid adalah dianggap sebagai doktor rohani bagi para muridnya. Jika mencari guru mursyid wajib maka mengikut tunjuk ajar dan nasihat syeikh mursyid juga wajib.
Ulamak besar dan terkenal seperti Imam Sayuti (w.911H) belajar tarekat Syadhiliyyah dari Syeikh Muhammad Al-Maghribi As-Syadhili; Sultanul Ulama Syeikh Izzuddin Ibnu Abdus Salam (w.660H) belajar tarekat Syadhiliyyah dari Syeikh Abu Hassan As-Syadhili (w.656H); Syeikh Ahmad Faruqi As-Sirhindi Mujaddid alfi Thani (w.1032H) belajar tarekat Naqsyabandiyyah dari Syeikh Muhammad Baqi Billah (w.1012H), demikianlah ulama-ulama besar lain, adalah didorong oleh kesedaran wajib bagi mereka belajar tarekat tasawuf.
Tepatlah apa yang ditegaskan oleh syeikh Najmuddin al-Kubra (w.618H): “Syariat itu umpama kapal, tarekat itu umpama lautan, hakikat itu umpama mutiara di tengah lautan. Siapa yang mahu mutiara hakikat, wajiblah ia naik kapal syariat, lalu berlayar di luatan tarekat, Allah akan kurniakan mutiara hakikat.”