Friday, October 9, 2015

Al-Habib Ali Al-Jufri: Bagaimanakah Kamu Memandang Diri Kamu?

Kriteria Nabi Muhammad S.A.W adalah sentiasa bertambah ketakutan serta tawaduknya kepada Allah dan bertambah kasih sayang serta berlemah lembut terhadap makhluk. dimanakah keadaan diri kita?
Adakah ke arah kriteria Nabi Muhammad atau ke arah kriteria iblis iaitu bersifat "aku lebih bagus darinya"?

Thursday, October 8, 2015

Bicara Cinta Dan Rindu - Dari Al-Mahabbah Karya Imam Al-Ghazali

Sirri As-Saqathi mengatakan, “Siapa yang mencintai Allah, maka ia hidup. Siapa yang cenderung pada dunia, maka ia kurang waras.

Orang tolol menjalani pagi dan petang harinya tanpa melakukan apa-apa. Sedangkan orang yang berakal sentiasa meneliti kekurangan-kekurangannya.”

Nabi juga pernah ditanya, “Apa amal yang paling utama?” Maka Nabi menjawab, “Redha kepada Allah dan cinta kepada-Nya.“

Tentu kita adalah orang yang waras. Yang selalu menggunakan akal dan hati untuk melihat kurnia dan cinta Allah yang begitu besar bagi kita. Demi cinta dan cinta-Nya, Allah menciptakan kita. Setiap helaan dan hembusan nafas dan apa saja yang kita nikmati setiap saat dan sisi adalah simbol cinta-Nya. 

Dia Maha Pencemburu ketika melihat kekasihnya pindah ke lain hati, atau lebih mencintai dunia semua daripada Tuhannya sendiri. Awas dengan cemburu-Nya Allah, pantas saja kita derita kerananya.

Ibrahim bin Khawwas mengatakan, “Cinta adalah terhapusnya keinginan dan terbakarnya sifat2 mu dan kebutuhan.”Abu Yazid berkata, “Seorang pecinta tidak mencintai dunia maupun akhirat. Yang ia cintai hanyalah Yang Menguasai dunia dan akhirat.” Sedangkan Asy-Syibli mengatakan, “Cinta adalah ketakjuban terhadap kenikmatan-Nya dan kehairanan dalam mengagungkan-Nya.

Suatu saat Sahal At-Tustari ditanya tentang cinta, ia pun menjawab, “Cinta adalah kasih sayang hamba-Nya kerana musyahadahnya setelah ia memahami apa yang dikehendaki Allah.”

Semoga kita bisa mencinta Allah, menjadi kekasih-Nya, serta siap menerima limpahan cahaya cinta-Nya yang masuk ke relung hati kita dengan terbukanya Kaabah Sirri. 

--Dikutip dari Al-Mahabbah karya Imam Al-Ghazali--

Tuesday, October 6, 2015

10 Penyakit Pengamal Tarekat (Yang Tersasar) - Bahagian 5

Sambungan dari bahagian 4

Oleh: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al - Khalidi
(Ahli Turuq Jilsah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Malaysia)

9. BERPADA DENGAN BERPEGANG KEPADA SANGKAAN-SANGKAAN SAHAJA

Perjalanan ruhaniyah adalah amat sulit dan banyak liku-likunya yang mudah menyesatkan, lebih sulit dan lebih bahaya lagi jika dibandingkan dengan perjalanan di dalam hutan dara yang terlalu tebal. Oleh itu ia perlukan ilmu yang tepat dan benar sebagaimana yang ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi serta yang terdapat di dalam kitab-kitab yang mu’tabar.

Jika seseorang hanya berpandu kepada sangkaan-sangkaannya sahaja, sudah tentulah ia akan sesat. Dari sudut yang lain pula dapat kita gambarkan bahawa jalan keruhanian itu seperti sebuah cermin yang bersih, tetapi ada garis pembahagi sebelah kiri dan kanan; sebelah kiri adalah iblis dan kesesatan sedang sebelah kanan adalah yang hak atau yang benar yang dikehendaki oleh Allah.

Tetapi garis pembahagi di cermin yang memisahkan kiri dan kanan itu tidak Nampak dan terlalu sukar untuk dilihat sehingga orang yang berjalan di atasnya telah jauh terseleweng ke kiri, tetapi ia masih yakin berada di sebelah kanan (Ia telah sesat, tetapi ia merasakan masih berada di dalam kebenaran).

Hanya bila kita berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama yang arif billah sahajalah yang dapat menyedarkan diri samada kita telah sesat atau berada di dalam kebenaran Allah.Kebanyakan kesesatan dan tindakan serta tingkah laku pengamal-pengamal ilmu tasauf yang menyalahi syariat Islam adalah berpunca dari sangkaan-sangkaan mereka sendiri seperti yang disebutkan itu.

10. MENIPU ALLAH

Perbuatan menipu Allah ini banyak berlaku di kalangan orang-orang yang jahil, terutamanya seseorang yang jahil murakkab iaitu ia jahil dan tidak mahu belajar serta tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepadanya, malahan ia bersikap bodoh sombong dengan sifat kejahilan dirinya itu.

Contoh – contoh perbuatan menipu Allah itu ialah seperti tidak mahu sembahyang kononnya ia telah melakukan sembahyang daim (hatinya terus sembahyang tanpa putus) , berjudi itu rezeki yang Allah beri juga seperti sumber-sumber rezeki lainnya, kerana hakikat rezeki itu datangnya dari Allah belaka; berdoa itu syirik kerana bila berdoa bererti menuduh Allah tidak tahu untuk mengurus diri para makhluknya, sembahyang itu syirik kerana ada niat sengaja aku sembahayang, tidak sembahyang dosa besar, dosa besar diampunkan, tetapi syirik tidak diampunkan.

Oleh itu tidak buat sembahyang adalah lebih baik daripada melakukannya. Kata-kata si jahil seperti itu adalah merupakan kata-kata loyar buruk semata-mata. Mereka akan dimasukkan ke neraka oleh Allah dengan cara yang amat menyakitkan hatinya.

Tegasnya Allah akan berloyar buruk terhadap mereka. Misalnya, orang itu akan dimasukkan di dalam satu bekas dan bekas itu dimasukkan ke neraka; bila mereka bertanya mengapa mereka dimasukkan ke neraka, maka Allah menjawab bahawa Allah tidak membakar mereka tetapi hanya mahu membakar bekas itu sahaja! Wallahu a’lam.

Monday, October 5, 2015

10 Penyakit Pengamal Tarekat (Yang Tersasar) - Bahagian 4

Sambungan dari bahagian 3

Oleh: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al - Khalidi
(Ahli Turuq Jilsah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Malaysia)

7. BERASA LAZAT DAN PUAS HATI TERHADAP NATIJAH-NATIJAH ZIKIR AL-WARIDAT

Demikian juga berbagai pemandangan roh atau mata hati terhadap rahsia-rahsia perjalanan menuju Allah itu adalah juga termasuk di dalam makna al-waridat itu. Di kalangan ahli Tariqat di Malaysia ini, al-waridat itu di istilahkan sebagai natijah-natijah zikir. Al-Imam Al-Ghazali mengibaratkan orang yang berasa seronok dan lazat dengan al-waridat itu seperti anak-anak kecil yang menangis, lalu diberikan gula-gula atau anak -anak patung, maka iapun merasa seronok lalu diam dan berhenti dari menangis, kerana ia puas hati dengan gula-gula atau anak-anak patung itu.

Al-Imam Al-Ghazali juga mengambarkan bahawa perjalanan rohani seseorang menuju Allah itu dapat disamakan dengan perjalanan seseorang menemui raja yang bersemayam di atas singgahsana di dalam istananya, bila seseorang yang mahu menemuinya maka keluar dari rumahnya untuk menemui raja itu, sudah tentu akan mengambil masa yang lama disebabkan perjalanannya yang jauh itu, dalam perjalanannya itu tentu ada kampung, kebun, ladang, dan berbagai pemandangan lagi, bila sampai di kawasan istana pula tentulah pemandangan lebih menarik dan indah. Jika seseorang salik itu tertarik dengan pemandangan-pemandangan itu semua dan berasa seronok, sudah tentulah ia akan terlupa tujuan asal untuk menemui raja itu.

Apa yang paling membahayakan ialah seseorang itu berasa telah sampai kepada raja yang dituju, pada hal ia masih jauh lagi dari istana atau mungkin juga ia masih berlegar-legar di halaman istana. Oleh yang demikian, maka sifat berasa lazat, seronok dengan al-waridat itu menjadi hijab hati atau ruhani yang merosakkan perjalanannya. Lebih hebat lagi bila seseorang itu telah dihantui dan dicandui oleh perasaan seronok dan lazat dengan al-waridat tersebut. Di tahap tersebut, orang tersebut akan dihanyutkan oleh al-waridat itu sendiri, sehingga bila satu masa nanti al-waridat terasa tidak ada maka hati kecilnya mula berperangsangka buruk terhadap Allah, dirinya sendiri, terhadap gurunya dan para sahabatnya.

Bagaimana mahu menerima al-waridat itu? Terimalah dengan bersyukur kepada Allah, jika ianya tidak berlawanan dengan Al-Quran dan sunnah Nabi dan jika tidak berlawanan dengan kata-kata ulama yang arif billah. Tetapi janganlah dihiraukan sangat al-waridat tersebut. Jika al-waridat tersebut berlawanan dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi atau pandangan ulama arif billah, maka hendaklah ianya kita sisihkan sahaja, jangan pandang langsung.

Di sinilah letaknya bahawa seseorang itu mesti terus menimba ilmu, tauhid, feqah dan tasauf, kerana tanpa ilmu sukar untuk menentukan al-waridat itu hak atau batil.Seorang yang tidak mahu mengerjakan sembahyang, tidak mahu menceburkan diri dalam masyarakat atau sebagainya, pada hal gurunya tidak ada mengajarkan demikian adalah berpunca dari kesilapannya sendiri iaitu terlalu berpegang terhadap al-waridat, walaupun ia jahil mengenai Al-Quran, Sunnah Nabi dan pandangan para ulama yang sebenarnya.

8. DIAM, NEGATIF TIDAK POSITIF TERHADAP JANJI-JANJI BAIK ALLAH

Allah menyuruh hamba-hambaNya untuk berbuat baik, malahan Allah menyuruh supaya para hambaNya itu berlumba-lumba untuk berbuat berbagai kebaikan. Allah berfirman, maksudnya: “Hendaklah kamu berlumba-lumba untuk membuat berbagai kebaikan”. (Surah Al-Anbia: Ayat 90)

Kebaikan yang Allah perintahkan untuk dilakukan selain daripada perkara-perkara yang difardhukan adalah terlalu banyak. Oleh itu seseorang itu, setelah menunaikan yang difardhukan, maka hendaklah ia aktif, cergas dan bersegera berbuat kebaikan itu.

Ingatlah bahawa orang yang berhenti (waqif) itu adalah orang yang masih mula berjalan, seorang salik pula adalah berjalan terus (sair) sedang seorang yang telah sampai kepada hakikat (wasil) pula adalah sentiasa terbang, bukan hanya ruhaniyahnya tetapi juga aspek zahirnya.

Contoh kita ialah Nabi Muhammad S.A.W. Tidakkah Baginda itu sentiasa aktif, cergas dalam hidupnya untuk berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya. Sebab itulah Allah menyatakan bahawa hamba – hamba Allah yang sebenarnya itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu melakukan yang terbaik sekali.

Maksudnya:

“Hamba-hamba Allah yang sebenar itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu diikuti (dibuat) yang lebih dalam lagi dalam perkara- perkara yang membantu menyempurnakan amalan salik”.

(Sambungan Bahagian 5)