Kesan Muzik, Lirik Lagu dan Video Muzik ke atas Kanak-kanak dan Remaja
Council on Communications and Media
Pediatrics 2009;124;1488; terbitan asal atas talian pada 19 Oktober, 2009;
DOI: 10.1542/peds.2009-2145
Versi atas talian artikel ini, termasuk maklumat dan perkhidmatan dikemaskini, boleh didapati di:
PEDIATRICS adalah jurnal rasmi the American Academy of Pediatrics. Sebuah terbitan bulanan, ianya telah diterbitkan berterusan semenjak 1948. PEDIATRICS dimiliki, diterbitkan dan dicap dagangkan oleh the American Academy of Pediatrics, 141 Northwest Point Boulevard, Elk Grove Village, Illinois, 60007. Hakcipta © 2009 oleh the American Academy of Pediatrics. Hak cipta terpelihara. ISSN versi cetakan: 0031-4005. ISSN versi atas talian: 1098-4275.
Dimuat turun daripada pediatrics.aappublications.org oleh guest pada 27 Oktober, 2014
Prinsip Organisasi bagi Membimbing dan Mendefinisikan Sistem Penjagaan Kesihatan Kanak-kanak dan/atau Memperbaiki Kesihatan Semua Kanak-kanak
Kenyataan Polisi—Kesan Muzik, Lirik Lagu, dan Video Muzik ke atas Kanak-kanak dan Remaja
ABSTRAK
Muzik memainkan peranan yang penting dalam sosialisasi kanak-kanak dan remaja. Muzik popular kedengaran di serata tempat, dan ianya mudah didapati daripada radio, pelbagai rakaman, internet dan teknologi terkini, membolehkan remaja mendengarnya di dalam pelbagai keadaan dan situasi, bersendirian atau berkongsi dengan rakan-rakan. Ibubapa selalunya tidak sedar lirik apa yang didengari anak-anak mereka kerana penggunaan muzik muat turun dan set fon kepala yang kian meluas. Muzik popular telah dikaji kesannya ke atas kerja sekolah, interaksi sosial, mood, dan terutamanya tingkah laku. Kesan muzik popular ke atas tingkah laku dan emosi kanak-kanak dan remaja kini semakin membimbangkan. Lirik-lirik lagu kini secara eksplisit merujuk kepada penyalahgunaan dadah, seks dan keganasan, terutamanya di dalam genre tertentu. Seorang remaja yang memilih muzik-muzik tertentu boleh dikaitkan dengan tingkah laku tertentu. Seperti muzik popular, persepsi dan kesan mesej yang dibawa oleh video muzik juga sama penting kerana kajian telah melaporkan bahawa pendedahan kepada keganasan, mesej seksual, stereotaip seksual, dan penyalahgunaan dadah di dalam video muzik boleh membawa kepada perubahan yang besar di dalam tingkah laku dan sikap penonton muda. Pakar kanak-kanak dan ibubapa harus sedar tentang maklumat ini. Tambahan pula, daripada bukti yang diperolehi daripada kajian-kajian ini, pakar kanak-kanak dan ibubapa wajib menetapkan satu pendirian mengenai lirik lagu. Pediatrics 2009;124:1488–1494
_______________________________________________________________________
Hakcipta dokumen ini terpelihara dan ia adalah hakmilik the American Academy of Pediatrics dan Lembaga Pengarahnya. Kesemua pengarangnya telah memfailkan suatu kenyataan konflik kepentingan dengan the American Academy of Pediatrics. Sebarang konflik telahpun diselesaikan melalui proses yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah. The American Academy of Pediatrics tidak pernah memohon ataupun menerima sebarang bentuk penglibatan secara komersil dalam penghasilan terbitan ini.
www.pediatrics.org/cgi/doi/10.1542/peds.2009-2145 doi:10.1542/peds.2009-2145
Kesemua kenyatan polisi oleh the American Academy of Pediatrics terbatal secara sendirinya 5 tahun selepas diterbitkan kecuali disahkan semula, disemak semula, atau dihentikan pada atau sebelum waktu tersebut.
PEDIATRICS (No. ISSN: Cetakan, 0031-4005; Atas talian, 1098-4275).
Hakcipta © 2009 oleh the American Academy of Pediatrics
Muzik memainkan peranan yang penting dalam sosialisasi kanak-kanak dan remaja. 1–3 Mendengar muzik popular dianggap sebahagian daripada proses perkembangan. 2 Muzik ialah satu bentuk hiburan dan alihan tumpuan daripada masalah dan berfungsi sebagai satu cara untuk menghilangkan tekanan dan kebosanan. Sesetengah kajian telah melaporkan bahawa para remaja menggunakan muzik popular untuk mengatasi kesepian dan mengawal emosi atau mood mereka. 2,4 Muzik juga dapat menyediakan satu platform cinta dan titik permulaan hubungan dalam persekitaran yang pelbagai. 2Para remaja menggunakan muzik dalam proses pembentukan identiti, 4-11 dan pilihan muzik membolehkan mereka mempunyai identiti kumpulan dan berintegrasi dalam budaya remaja. 5,7–9,12,13 Sesetengah pengkaji mencadangkan bahawa muzik popular memberikan remaja satu cara untuk mengatasi konflik bawah sedar yang berkait rapat dengan tahap perkembangan yang mereka alami 2,7,12,14 dan muzik pilihan utama membayangkan tahap konflik mereka di peringkat ini. 14-17 Muzik pilihan para remaja dan tindak balas dan tafsiran mereka kepadanya berbeza mengikut umur, budaya, dan etnik. 2,13,14,18-25 Kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam pembolehubah ini. 25 Berbanding remaja lelaki, remaja perempuan lebih cenderung untuk menggunakan muzik bagi menonjolkan keadaan emosi mereka, khususnya apabila mereka berasa sunyi atau murung. 2,26,27 Di samping itu, remaja lelaki lebih cenderung untuk menggunakan muzik sebagai perangsang untuk meningkatkan paras kecergasan mereka, atau untuk menjadikan imej diri mereka lebih positif. 2,4,26 Bagi memahami kepentingan muzik dalam kehidupan para remaja, satu kajian yang dijalankan pada awal tahun 1990-an ke atas 2760 remaja di Amerika Syarikat dalam lingkungan umur 14 hingga 16 tahun mendedahkan bahawa subjek-subjek ini mendengar muzik selama 40 jam setiap minggu secara purata. 28 Dalam kajian yang lain pada tahun 2000, North et al 4 telah melaporkan bahawa satu sampel 2465 remaja di England mendengar muzik selama 2.45 jam sehari secara purata. Dalam kajian yang dilakukan pada 2005 untuk menilai penggunaan media oleh anak-anak berusia 8 hingga 18 tahun di Amerika Syarikat, Roberts et al 25 pula melaporkan bahawa pada mana-mana hari tertentu, 85% anak-anak berusia 8 hingga 18 tahun mendengar muzik. Walaupun masa yang dihabiskan mendengar muzik berbeza mengikut kumpulan umur, generasi muda Amerika mendengar muzik selama 1.5 hingga 2.5 jam sehari. Namun, satu kajian yang dijalankan di atas sampel kecil anak muda berisiko mendedahkan pendengaran muzik adalah secara puratanya sehingga 6.8 jam sehari. 29 Selanjutnya, Roberts et al mendapati bahawa 33% yang mendengar muzik melakukannya sambil manjalankan tugasan atau aktiviti lain. Data-data ini menyokong pendapat bahawa para remaja lebih banyak mendengar muzik berbanding menonton televisyen. Ini kerana muzik popular boleh kedengaran hampir di mana-mana, daripada pasaraya kepada pusat membeli-belah, selalunya sebagai muzik latar. Ia juga mudah didapati di radio, pelbagai rakaman, internet, dan teknologi terkini, 11,25 membolehkan para remaja mendengarnya dalam pelbagai keadaan dan situasi, bersendirian atau berkongsi dengan rakan-rakan.
Pengguna muzik popular bukan sahaja dari kalangan para remaja. Satu kajian melibatkan 100 orang pelajar tahun empat hingga enam mendedahkan bahawa 98% anak-anak ini mendengar muzik popular, 72% daripada mereka “selalunya” atau setiap hari. 30 Sehubungan itu, anak-anak berumur 8 hingga 10 tahun dilaporkan mendengar muzik secara puratanya 1 jam sehari. 25 Keadaan di mana kebanyakan anak-anak dan remaja mendengar muzik di iPod atau lain-lain peralatan dengan menggunakan set fon kepala mengakibatkan ibu bapa kurang maklum apa yang didengari anak-anak mereka.
Kajian ke atas muzik popular telah menyelami beberapa bidang, contohnya kesannya ke atas kerja sekolah, 31 interaksi sosial, mood dan kesannya, 20,26,27,32,33 dan terutamanya tingkah laku. 10,11,34–36 Beberapa teori telah dirangka untuk menjelaskan hubungkait di antara muzik dan tingkah laku, 15,37,38 dan sebilangan kajian telah menunjukkan bahawa terdapat hubungkait di antara muzik dan emosi, tanpa mengira umur. 20,23,27,39–41 Walaupun tindak balas emosi kepada muzik banyak bergantung kepada cara ia dipersembahkan, ia juga berkait rapat dengan umur pendengar dan pengalaman atau tanggapan lampau yang mereka bawa semasa mendengar muzik. 2,14,39 Kesan muzik popular ke atas tingkah laku dan emosi kanak-kanak dan remaja kini kian membimbangkan. 40 Kebimbangan utama adalah lirik lagu sesetengah genre muzik dan kesannya ke atas kanak-kanak dan remaja. 3,10,11,42–45
Lirik-lirik lagu kini semakin eksplisit merujuk kepada penyalahgunaan dadah, seks dan keganasan. 11 Satu analisa kandungan 10 CD teratas dalam carta yang dijalankan oleh the National Institute on Media pada 1999 mendedahkan bahawa setiap satu daripada CD ini mengandungi sekurang-kurangnya sebuah lagu yang berunsur seksual. Empat puluh dua pertus daripada lagu-lagu di dalam CD ini mengandungi unsur seksual yang sangat eksplisit. 46 Liri-lirik sesetengah genre muzik, seperti rock, heavy metal, rap, dan genre yang baru muncul seperti reggaeton, didapati berkisar topik-topik seperti seks bebas, kematian, pembunuhan, bunuh diri, dan penyalahgunaan dadah. 9,13,17,43,45,46–53 Baru-baru ini, terdapat sesetengah muzik rap yang boleh dikategorikan dengan kehadiran bahasa seksual eksplisit di dalam liriknya, di samping juga mesej bersifat keganasan, perkauman, homophobia, and kebencian terhadap kaum hawa. 9,10,42,54 Muzik sebegini juga cenderung menyanjung tinggi penggunaan dadah, tembakau, dan arak.
Dalam menyangkal kebimbangan berkenaan kesan lirik, ada yang menyatakab bahawa kanak-kanak dan remaja hanya menggunakan muzik sebagai alat hiburan, dan mereka hanya sedikit atau tidak langsung menghiraukan senikatanya, dan jikalaupun ada, pemahaman mereka sangat terhad dan terbatas kepada pengalaman si pendengar. 32,55 Walaubagaimanapun, kajian lain telah menunjukkan sebaliknya.
56 Lebih kurang 17% remaja lelaki dan 25% remaja perempuan menyatakan bahawa mereka menyukai lagu-lagu kegemaran mereka khususnya kerana lirik lagu tersebut dapat menggambarkan perasaan mereka. 2 Di samping itu, semakin seseorang remaja mementingkan sesuatu jenis muzik, begitu juga semakin mereka memberi perhatian terhadap liriknya. 2,55,57,58 Selanjutnya, Knobloch- Westerwick et al menyatakan bahawa walaupun pendengar muda mungkin tidak memahami maksud senikata lagu dengan teliti, namun mereka tetap dapat menangkap mesej yang dibawa secara amnya secukupnya. 11 Mengenai kesan muzik popular ke atas tingkah laku pula, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pemilihan sesetengah jenis muzik boleh dikaitkan dengan sesetengah tingkah laku,* contohnya perkaitan penggunaan dadah dan arak dengan muzik “rave” atau muzik elektronik di pesta tari-menari. 13,50,51,62 Roberts et al 39 telah menjalankan satu kajian pada 1997 di sebuah kilinik remaja, dan keputusannya mencadangkan bahawa penyebab utama risiko berkait muzik kepada remaja adalah mereka berasa atau beremosi negatif apabila mendengar sebarang jenis muzik, sepertimana diakui mereka sendiri. Pengkaji tersebut menjelaskan perkaitan di antara tindak balas emosi negatif kepada muzik dengan tindakan pengambilan risiko, seterusnya mereka juga mencadangkan bahawa penyebab tingkah laku berisiko sesetengah remaja ialah tindak balas emosi negatif, dan bukan jenis muzik.
-*Ruj 2, 10, 17, 29, 37, 39, 42, dan 59–65.
Scheel and Westefeld 61 menyokong cadangan ini pada 1999. Di dalam sesetengah kajian pula, muzik heavy metal dan sesetengah muzik rock telah dikaitkan dengan peningkatan risiko bunuh diri. 17,61,63,66,67 Pernah dilaporkan di dalam kajian bahawa peminat muzik heavy metal mempunyai banyak masalah dengan pihak pengurusan sekolah dan guru-guru berbanding pelajar-pelajar yang bukan peminat muzik tersebut. 2 Pendengaran muzik heavy metal juga dikaitkan dengan peningkatan kemurungan, tingkah laku berisiko delinkuen, 63–65 merokok, dan masalah perilaku. 60 Peminat muzik heavy metal dand rap menunjukkan kecendurangan lebih tinggi dalam tingkah laku melulu berbanding rakan sebaya yang bukan peminat muzik jenis tersebut. 2,14,37,68 Sebuah kajian yang dijalankan untuk menyelami kesan kemungkinan muzik heavy metal yang mengandungi lirik seksual sama ada ganas ataupun tidak ke atas sikap lelaki terhadap perempuan mendapati mereka yang didedahkan kepada muzik heavy metal, sama ada dengan lirik seksual berbentuk ganas mahupun tidak, menunjukkan sikap sterotaip yang jauh lebih negatif terhadap perempuan berbanding kumpulan yang telah didedahkan kepada muzik klasikal. 2,69 Seterusnya, di dalam sebuah kajian yang dijalankan oleh Fischer dan Greitemeyer, 42 lelaki yang mendengar lirik “misogynist” menunjukkan respon yang lebih agresif terhadap perempuan serta mempunyai persepsi yang lebih negatif terhadap mereka.
Di dalam sebuah kajian di mana remaja yang lebih menggemari muzik heavy metal dan rap dibandingkan dengan remaja yang menggemari muzik jenis lain, keputusannya menunjukkan bahawa kumpulan pertama menunjukkan markah semasa dan sekolah rendah di bawah paras secara konsisten, beserta siri sesi kaunseling bagi masalah akademik di sekolah rendah. 14 Satu kajian yang dijalankan pada 1999 dengan satu sampel 345 ibu anak-anak di sekolah kebangsaan menunjukkan bahawa 47% daripada subjek ini mempercayai mesej berbentuk keganasan di dalam muzik rap menyumbang kepada keganasan di sekolah 70; namun, berdasarkan satu laporan daripada Kaiser Family Foundation on parents, children, and the media pada 2007, 44 hanya 9% daripada ibu bapa yang mengambil berat tentang terdapatnya kandungan tidak sesuai di dalam muzik.
Pemilihan muzik heavy metal, rap, dan genre yang berkaitan di kalangan remaja seharusnya menjadikan kita lebih berwaspada tentang bahaya kesan pendedahan ini dan kecenderungan ke arah tingkah laku yang berisiko akibatnya. Remaja berisiko dan yang berasa terasing kerana kegagalan atau masalah lampau cenderung untuk menggemari muzik jenis ini, yang mungkin menggambarkan pandangan pesimis mereka terhadap hidup dan dunia. 2,9,14,17,19,37,71
Walaubagaimanapun, kajian korelasi memunyai had yang nyata dan tidak boleh mengenal pasti hubungan sebab-akibat, tetapi hubungannya merujuk status semasa kajian tersebut.
Kajian berhubung muzik dan kesannya ke atas anak-anak dan remaja telah menjangkau ke satu lagi ekspresi muzik popular iaitu video muzik.
Video muzik adalah sangat menarik kepada kanak-kanak dan remaja. Memandangkan video muzik menggabungkan 2 media yang mampu menarik perhatian anak-anak muda (televisyen dan muzik popular), maka sangat penting bagi kita untuk mengkaji kesannya ke atas penonton bawah umur dan mengambil berat tentang mesej yang dibawa oleh video muzik ini. 30,72 Video muzik telah banyak dikaji. 29,30,55,72–93 Ia kebanyakannya diklasifikasikan sebagai video berbentuk persembahan atau konsep.
Bagi video persembahan, seorang artis atau kumpulan dirakam semasa persembahan, iaitu selalunya semasa konsert. Video konsep sebaliknya, menceritakan sebuah kisah yang mungkin atau tidak lahir daripada lagu terbabit. Kadang kala kisah ini menambah kandungan kepada lirik dan memberi suatu interpretasi tertentu yang diperkukuhkan setiap kali si penonton mendengar lagu itu. 72,73,75 Seperti muzik popular, persepsi dan kesan mesej video muzik ke atas kanak-kanak dan remaja berkait dengan umur dan tahap perkembangan dan emosi penontonnya, sepertimana juga tahap pendedahan mereka.
Peningkatan penontonan video muzik telah dikaji di Amerika Syarikat dan juga Eropah. 30,79,90,92,94 Sebuah kajian 100 pelajar tahun empat hingga enam mendedahkan bahawa 75% daripada mereka menonton video muzik, di mana 60% daripada mereka mengaku kekerapannya sebagai “banyak juga” atau “banyak.” Daripada kanak-kanak ini, 62% menonton video muzik sama ada “selalunya” atau “setiap hari,” dan 7% juga menontonnya sebelum pergi ke sekolah. 30 Pada 2003, satu laporan oleh the Kaiser Family Foundation 90 mendedahkan bahawa 3 daripada 4 mereka di dalam kumpulan lingkungan 16 hingga 24 tahun menonton MTV, 58% menontonnya sekurang-kurangnya sekali seminggu, dan 20% menontonnya sejam atau lebih setiap hari.
Terkini, satu kajian mendedahkan bahawa satu sampel anak-anak berumur 12 hingga 15 tahun menonton video muzik secara puratanya 4.3 hari seminggu. 92 Kajian ke atas video muzik banyak menjurus kepada analisis kandungan. Satu kajian yang diterbitkan pada 1997 oleh DuRant et al 76,82 memaparkan analisis 518 video muzik dari 4 rangkaian televisyen (MTV, VH1, CMT, and BET). Kajian ini mendedahkan bahawa keganasan di dalam video muzik ini berada di dalam lingkungan 11.5% hingga 22.4%, dengan video yang paling ganas dipaparkan di MTV.
Apabila dianalisa berdasarkan jenis muzik, video rap paling tinggi peratusan paparan keganasannya (20.4%), diikuti rapat dengan video rock (19.8%). Menggunakan sampel yang sama, satu kajian lain mendedahkan bahawa walaupun peratusan video yang memaparkan penggunaan arak di kalangan rangkaian televisyen tidak banyak berbeza, peratusan yang ditayangkan masih besar, iaitu daripada 18.7% hingga 26.9%. Daripada semua rangkaian televisyen, MTV mempunyai peratusan paparan penggunaan arak paling tinggi
dan juga peratusan paling tinggi paparan tabiat merokok (25.7%). Daripada video-video ini, video muzik rap memaparkan kandungan penggunaan arak dan tembakau yang lebih tinggi berbanding video-video jenis lain. 75 Pada 1998, Rich et al 82 melaporkan hasil analisa kandungan yang menkaji perbezaan jantina atau keturunan dari segi pelaku kekerasan atau mangsanya dalam perlakuan keganasan yang dipaparkan di dalam sampel yang sama daripada 518 video muzik yang disebutkan sebelum ini. Analisa ini menunjukkan bawa individu berkulit hitam terlebih dipaparkan sebagai pelaku kekerasan (25%) dan mangsa (41%), berbanding peratusan individu kulit hitam di dalam populasi penduduk am (12%). Kajian yang dijalankan oleh Smith dan Boyson pada 2002 93 dan Gruber et al pada 2005 91 mengesahkan hasil kajian ini.
Analisa kandungan video muzik sangat penting, kerana kajian telah melaporkan bahawa pendedahan kepada keganasan, mesej seksual, stereotaip seksual, dan penyalahgunaan bahan di dalam video muzik mungkin mengakibatkan perubahan besar dalam tingkah laku dan sikap penonton muda.† Kerap menonton video muzik telah dikaitkan dengan peningkatan risiko mempercayai stereotaip palsu dan peningkatan persepsi kepentingan rupa paras dan berat badan di kalangan remaja perempuan. 83 Di dalam kajian yang dijalankan untuk menilai reaksi pemuda lelaki yang didedahkan kepada video muzik rap atau seksis, subjek kajian dilaporkan semakin tinggi kemungkinannya untuk terlibat dalam perlakuan kekerasan, lebih mudah menerima penggunaan kekerasan, dan lebih mudah menerima penggunaan kekerasan terhadap wanita daripada subjek yang tidak didedahkan kepada video-video tersebut. 29,35,77,78,92 Pada 1999 Kalof 84 melaporkan pelajar-pelajar universiti yang didedahkan kepada video yang mempunyai imej stereotaip seksual menunjukkan penerimaan lebih tinggi terhadap hubungan yang bertentangan berbanding dengan mereka yang tidak didedahkan. Kaestle et al 92 melaporkan pada 2007 bahawa dalam sekumpulan pelajar lelaki tahun tujuh dan lapan, menonton video muzik dan gusti profesional dikaitkan dengan peningkatan penerimaan rogol berpacaran.
Satu kaji selidik yang dijalankan melibatkan 214 remaja mendedahkan bahawa terdapat perkaitan di antara tontonan video muzik dan tingkah laku seksual permisif (secara rela). 76 Ia juga dilaporkan bahawa setelah remaja menonton MTV, sikap remaja terhadap seks sebelum perkahwinan lebih terbuka. 52,53,80 Satu kaji selidik yang dijalankan melibatkan 2760 remaja Amerika menunjukkan bahawa mendengar muzik dan menonton televisyen dan video muzik kerap dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku berisiko 68 dan penggunaan arak 85,86; hasil kajian ini disahkan oleh van den Bulck dan Beullens, 94 yang telah menunjukkan hubungan longitudinal di antara pendedahan remaja kepada video muzik dengan penggunaan arak semasa ke bar, pesta, kelab malam, dan sebagainya. Pada 2003, Wingwood et al 89 melaporkan dalam satu kajian di mana 522 remaja perempuan berkulit hitam yang didedahkan kepada video muzik rap secara median 14 jam seminggu dikaji berterusan selama 12 bulan. Setelah dikawal semua pemboleh ubah, pendedahan tinggi kepada video muzik rap dikaitkan secara berasingan dengan pelbagai tingkah laku berisiko, contohnya peningkatan seks bebas dan penggunaan dadah dan arak antara lain. Penting sekali, satu kajian yang dijalankan oleh Austin et al 98 pada 2000 mendedahkan bahawa potensi risiko pendedahan kepada video muzik boleh dikurangkan dengan penguatkuasaan oleh ibu bapa dan penguatkuasaan untuk mengawal tingkah laku yang ditonjolkan.
The American Academy of Pediatrics memahami bahawa dengan hasil kajian dan pengetahuan kami tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja, pakar kanak-kanak dan ibu bapa seharusnya lebih peka dengan maklumat yang dibentangkan di sini. Selanjutnya, dengan bukti yang didapati daripada kajian-kajian di sini, pakar kanak-kanak dan ibu bapa wajib menetapkan satu pendirian berkenaan isu ini. Maka, cadangan berikut disyorkan
1. Pakar kanak-kanak harus membiasakan diri dengan peranan muzik dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja dan mengenal pasti pilihan muzik pesakit mereka sebagai satu petunjuk konflik atau masalah emosi. 99
2. Pakar kanak-kanak harus membiasakan diri dengan kajian-kajian yang telah dijalankan berkenaan kesan muzik dan video muzik ke atas kanak-kanak dan remaja. 36,38,100–103
3. Pakar kanak-kanak harus menyelami jenis muzik yang didengar dan video muzik yang ditonton serta keadaan pengunaan media-media ini oleh pesakit mereka bersama pesakit dan ibu bapa.
4. Pakar kanak-kanak harus menggalakkan ibu bapa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memantau pendedahan anak-anak dan remaja kepada jenis muzik dan menjadi lebih peka kepada muzik yang dibeli mereka. 104–106 Ibu bapa boleh mendapatkan lirik dengan menaip “lirik muzik” di dalam enjin carian internet dan mengakses 1 atau lebih daripada laman sesawang yang tertera. Pakar juga kanak-kanak harus menasihati ibu bapa dan penjaga untuk memantau dan mengawal tontonan televisyen berdasarkan umur dan tahap kematangan anak-anak dan remaja mereka.
5. Pakar kanak-kanak harus menggalakkan ibu bapa dan penjaga untuk menjadi lebih celik media.
6. Pakar kanak-kanak harus menganjurkan dan melibatkan diri dalam persidangan setempat dan kebangsaan untuk membincangkan kesan muzik ke atas kanak-kanak dan remaja untuk memaklumkan masyarakat dan ibu bapa tentang lirik yang berciri eksplisit secara seksual, berorientasi dadah, atau keganasan di dalam CD dan kaset, video muzik, internet, dan teknologi terkini.
7. Masyarakat am dan ibu bapa khasnya harus peka dengan penggunaan amaran nasihat ibu bapa oleh industri muzik bagi kandungan eksplisit. Label nasihat ini adalah logo hitam putih yang boleh didapati di muka CD, kaset, album, kaset video, atau DVD. Ia mampu melindungi kanak-kanak daripada kandungan lucah dan melampau.
8. Artis-artis juga harus bertindak sebagai pembimbing positif kanak-kanak dan remaja.
9. Industri video muzik harus menerbitkan video-video dengan tema yang lebih positif mengenai hubungan, keharmonian kaum, penegahan penggunaan dadah, penyelesaian konflik tanpa kekerasan, penegahan seks, penegahan kehamilan, dan penegahan seks bebas.
10. Kajian selanjutnya ke atas kesan muzik popular, lirik, dan video muzik ke atas kanak-kanak dan remaja sangat penting dan harus diteruskan. 107
†Ruj 29, 35, 52, 53, 68, 72, 76 –78, 80, 85, 89, 92 dan 94 –97.
Kesan Muzik, Lirik Lagu dan Video Muzik ke atas Kanak-kanak dan Remaja
Council on Communications and Media
Pediatrics 2009;124;1488; terbitan asal atas talian pada 19 Oktober, 2009;
DOI: 10.1542/peds.2009-2145
Maklumat dan perkhidmatan terkini termasuk imej relosusi tinggi, boleh didapati di:
http://pediatrics.aappublications.org/content/124/5/1488.full.html
Rujukan Artikel ini merujuk 92 artikel, 20 daripadanya boleh diakses secara percuma di:
http://pediatrics.aappublications.org/content/124/5/1488.full.html#ref-list-1
Petikan Artikel ini telah dipetik oleh 4 artikel “HighWire-hosted” lain:
http://pediatrics.aappublications.org/content/124/5/1488.full.html#related-urls
Koleksi Subspecialty Artikel ini, dan lain-lain topik berkaitan, didapati di dalam koleksi berikut: Council on Communications and Media
http://pediatrics.aappublications.org/cgi/collection/council_on_communications_and_mediaMedia
http://pediatrics.aappublications.org/cgi/collection/media_sub
Keizinan dan & Perlesenan Maklumat mengenai percetakan semula artikel ini, sebahagian (nilai, jadual) atau keseluruhannya boleh didapati di:
http://pediatrics.aappublications.org/site/misc/Permissions.xhtmlPercetakan semula Maklumat tempahan percetakan semula boleh didapati di:
http://pediatrics.aappublications.org/site/misc/reprints.xhtml
PEDIATRICS adalah jurnal rasmi the American Academy of Pediatrics. Sebuah terbitan bulanan, ianya telah diterbitkan berterusan semenjak 1948. PEDIATRICS dimiliki, diterbitkan dan dicap dagangkan oleh the American Academy of Pediatrics, 141 Northwest Point Boulevard, Elk Grove Village, Illinois, 60007. Hakcipta © 2009 oleh the American Academy of Pediatrics. Hak cipta terpelihara. ISSN versi cetakan: 0031-4005. ISSN versi atas talian: 1098-4275.
No comments:
Post a Comment