Wednesday, August 12, 2015

Bahagian 5 - Laporan Hiburan Kearah Kebaikan Pengguna

Sambungan Dari Bahagian 4

Ibrahim Bin Ahmad (Prof. Madya)
Jabatan Bahasa Moden Fakulti Komunikasi Dan Bahasa Moden
Universiti Utara Malaysia

5.2.1 PERSEMBAHAN PENTAS

Satu tinjauan semula harus dibuat tentang dasar yang berhubungkait dengan persembahan pentas. Corak persembahan pentas terbuka yang ada sekarang ini terlalu longgar. Corak persembahan dan jenis lagu yang mengisi persembahan berkenaan tidak diberi kawalan sewajarnya. Lagu-lagu yang disampaikan tidak membawa roh Melayu, roh Malaysia. Jika ada lagu-lagu asing dipersembahkan, lirik lagu dan penyebutan lagu berkenaan hendaklah benar-benar dikawal. Bahasa menunjukkan bangsa. Membiarkan cara penyebutan ala barat bercambah adalah mengundang satu bencana besar kepada imej bangsa kerana bahasa itu bersifat rencam dan ia berkait rapat dengan komunikasi dan interaksi sosial. Bahasa memainkan peranan penting untuk mengekalkan sesuatu budaya. (Romaine, 1955 dan Kanka Mallick, 1997 ( John Edwards, 1989) menyatakan bahawa bahasa dan budaya membina satu kerangka yang membolehkan pendokong budaya berkenaan membina jati diri masing masing. Bahasa bukan sahaja alat untuk membina jati diri tetapi juga sebagai alat pembinanaan rasa bangga diri atau kemajuaan diri. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa bahasa penting sekali dalam pembinaan sentimen etnik dan semangat kebangsaan kerana kekuatan simbolisme yang tersurat atau tersirat (John Edwards 1989). Jika pelahiran Bahasa Melayu dilaksanakan dengan roh dari bangsa barat, maka kita akan kehilangan jati diri kerana setiap kata yang digunakan dalam komunikasi mempunyai roh masing-masing yang pada ketikaketika tertentu boleh menggegar dunia.

Selain memberi penekanan kepada gaya persembahan, garis panduan terhadap pakaian dan batas kreativiti penyampai lagu juga harus ditentukan dengan langkah tindak ikut. Pakaian yang digunakan oleh kebanyakan penyanyi yang membuat persembahan pentas tidak mencerminkan budaya timur atau penyesuaian dengan budaya timur. Menyaksikan sebuah persembahan kendalian anak-anak didik Akademi Fantasia atau Malaysia Idol yang disiarkan oleh dua buah stesyen swasta, seolah-olah menyaksikan sebuah persembahan pentas di Amerika. Rupa diri, perwatakan dan sikap kebanyakan mereka sudah jauh meninggalkan budaya Melayu Malaysia. Apa beginikah rupa bentuk nilai yang mahu kita bina dan biarkan subur menjadi tumang pautan generasi akan datang sejajar dengan perkembangan dunia pascamodenisme?

5.3.1 GARIS PANDUAN PERTANDINGAN LAGU

Setakat ini, pertandingan demi pertandingan diadakan oleh stesen-stesen radio dan televisyen kerajaan dan swasta. Masing-masing berlumba-lumba mencari kelaianan untuk menarik perhatian penonton kerana rancangan-rancangan yang dikendalikan itu berhubungkait dengan penajaan oleh syarikat-syarikat tertentu yang lebih berpaksikan keuntungan. Akhir-akhir ini muncul rancangan rancangan baru yang menjadi kegemaran ramai kerana ia melibatkan penonton secara langsung. Pertandingan Bintang RTM, Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Who Will Win dan Audition mendapat sambutan yang hebat dan setiap rancangan berkenaan mempunyai pengikut dan peminat masing-masing.

Jika ditinjau daripada aspek pembentukan nilai, apakah bentuk nilai yang terpancar oleh rancangan-rancangan tersebut? Rata-rata kalau kita teliti dengan menggunakan kaca mata Melayu, ramai penyanyi kelihatan seolah-olah tidak pernah belajar sebutan Melayu kerana sebutan kata atau pematahan lagu-lagu Melayu yang disampaikan membawa citarasa Inggeris. Pihak Kementerian harus menetapkan garis panduan penyampaian dan penghayatan lagu. Penyanyi yang tidak mematuhi ketetapan hendaklah disingkirkan atau digam daripada mengambil bahagian. Peraturan pemarkahan harus dilihat kembali. Pemberatan markah hendaklah juga diberikan kepada pematahan/penyebutan lirik lagu (satu ketika dulu dikategorikan sebagai patah lagu dan hasrat hati). Berjaya tidaknya sesebuah lagu itu bukan sahaja terletak pada kepandaian menangani nada muzik dengan baik tetapi juga pada penyampaian mesejnya melalui sebutan yang baik dan rasa hati yang bersesuaian. Langkah ini harus dilaksanakan secara serius, lebih serius daripada peraturan penampilan diri yang berkaitan dengan potongan rambut yang telah digubal untuk dipatuhi beberapa tahun lepas.

Sehubungan dengan garis panduan itu, garis panduan yang berhubung dengan pakaian juga patut dikuatkuasakan dengan lebih tegas. Kementerian mempunyai kuasa mutlak. Fesyen pakaian yang dipertontonkan memang lahir daripada kreativiti seseorang. Kreaviti memang tidak terbatas dan ia harus digalakkan tetapi setiap hal atau perlakuan di dunia ini ada batasannya. Jean J. Rousseau 10 pernah, mengatakan bahawa ‘Manusia dilahirkan bebas tetapi di mana-mana mereka terantai’. Mereka terantai dengan peraturan agama, peraturan budaya dan segala macam peraturan lagi. Jika kreativiti manusia tidak dikawal, ke manakah halatuju bentuk fesyen pakaian kebangsaan kita satu ketika nanti? Bagaimanakah agaknya rupa penampilan diri anak muda kita sepuluh tahun akan datang?

5.3.2 PERATURAN BERHUBUNG BAHAN PENYIARAN

Bahan penyiaran yang disiarkan melalui media massa, baik milik kerajaan atau swasta diterbitkan oleh syarikat-syarikat luar. Bahan-bahan ini dibeli oleh stesen berkenaan untuk disiarkan melalui slot-slot tertentu. Merujuk bahan-bahan berbentuk hiburan berupa muzik, kita lihat terdapat kepelbagaian dalam jenis bahan yang disiarkan. Terdapat julat yang tinggi antara satu penerbitan dengan satu penerbitan yang lain. Bahan-bahan yang tidak membantu untuk membentuk, mengembangkan dan memperkukuhkan nilai kebangsaan seharusnya tidak diterima untuk siaran. Untuk tidak merugikan para penerbit rancangan-rancangan berkenaan, garis panduan yang ketat harus diperkenalkan dan dipatuhi oleh semua pihak. Yang ingkar diketepikan penghasilan mereka. Langkah sebegini akan dengan pantas dapat mambantu mempercepatkan kita membina jati diri dalam penghasilan lagu-lagu yang berteraskan ciri-ciri kebangsaan.

Penciptaan lagu-lagu yang berteraskan budaya kaum-kaum di Malaysia sepatutnya lebih digalakkan daripada kita berkiblatkan ‘masterpiece’ barat. Pembauran ciri-ciri budaya berbilang kaum di Malaysia akan menghasilkan satu bentuk lagu atau muzik milik kita sendiri. Penciptapencipta seperti M. Nasir, Zuber Ali, Pak Ngah, S.Atan harus diberi peluang yang lebih luas untuk menghasilkan lagu-lagu dan muzik nusantara, jenis muzik yang lebih dekat dengan kita dan jiwa kita. Lagu-lagu klasik ciptaan pemuzik agung barat Bethoven dan Bach masih dimainkan sehingga kini. Bagaimana dengan muzik kita? Ke mana perginya zapin, joget, masri dan inang kita? Rentak ini sudah diberi nafas baru oleh pencipta-pencipta baru. Ini satu inovasi yang baik tetapi jangan inovasi itu merangkumi cara kita menyampaikan lagu-lagu kita.

6.0 PENUTUP

Seni muzik adalah salah satu cabang seni yang digunakan oleh manusia untuk menyatakan fikiran. Kerana ini seni, ia seharusnya indah dan keindahan bagi setiap bangsa itu bersifat relatif. Kerelatifan itu bergantung amat kepada sistem nilai yang di dokong oleh sesebuah bangsa. Seni muzik kita adalah lukisan rasa kita, lukisan pemikiran kita, lukisan seluruh gerak nadi bangsa kita. Seni muzik adalah aset kita yang harus kita perkaya dengan khazanah penciptaan yang lahir dari bangsa dan warna kita. Warna dan citra luar boleh diserap masuk untu memperkaya dan mempelbagaikan rupa diri seni muzik kita. Tetapi, jika seni muzik itu kita umpamakan sebagai sebuah rumah, jika kita mahu membuat pengubahsuaian, kita tentu tidak mahu rupa asal rumah kita tidak kelihatan lagi kerana diambil alih oleh rekabantuk baru yang dibina di atas tapak rumah kita. Begitu juga, jika kita mengumpamakan seni muzik kita bak aliran air yang lesu, kita tentu tidak mahu dengan menerima air dari pelbagai sumber anak sungai, sungai besar kita penuh dengan sampah sarap serta kotoran yang menjijikkan. Mari kita renungi pandangan von Humbolt (John Edwards, 1989) yang menyatakan bahawa tidak ada yang lebih penting atau utama untuk pembinaan kebudyaan kebangsaan dan kesinambungannya selain memiliki ‘lidah leluhur’ (ancestral tounge), maksudnya bahasa yang dituturkan mengikut lidah warisan bangsa. 

11 PENGESYORAN dari American Academy of Pediatric pula berbunyi:

“The American Academy of Pediatrics memahami bahawa dengan hasil kajian dan pengetahuan kami tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja, pakar kanak-kanak dan ibu bapa seharusnya lebih peka dengan maklumat yang dibentangkan di sini. Selanjutnya, dengan bukti yang didapati daripada kajian-kajian di sini, pakar kanak-kanak dan ibu bapa wajib menetapkan satu pendirian berkenaan isu ini. Maka, cadangan berikut disyorkan

1. Pakar kanak-kanak harus membiasakan diri dengan peranan muzik dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja dan mengenal pasti pilihan muzik pesakit mereka sebagai satu petunjuk konflik atau masalah emosi. 99
2. Pakar kanak-kanak harus membiasakan diri dengan kajian-kajian yang telah dijalankan berkenaan kesan muzik dan video muzik ke atas kanak-kanak dan remaja. 36,38,100–103
3. Pakar kanak-kanak harus menyelami jenis muzik yang didengar dan video muzik yang ditonton serta keadaan pengunaan media-media ini oleh pesakit mereka bersama pesakit dan ibu bapa.
4. Pakar kanak-kanak harus menggalakkan ibu bapa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memantau pendedahan anak-anak dan remaja kepada jenis muzik dan menjadi lebih peka kepada muzik yang dibeli mereka. 104–106 Ibu bapa boleh mendapatkan lirik dengan menaip “lirik muzik” di dalam enjin carian internet dan mengakses 1 atau lebih daripada laman sesawang yang tertera. Pakar juga kanak-kanak harus menasihati ibu bapa dan penjaga untuk memantau dan mengawal tontonan televisyen berdasarkan umur dan tahap kematangan anak-anak dan remaja mereka.
5. Pakar kanak-kanak harus menggalakkan ibu bapa dan penjaga untuk menjadi lebih celik media. 
6. Pakar kanak-kanak harus menganjurkan dan melibatkan diri dalam persidangan setempat dan kebangsaan untuk membincangkan kesan muzik ke atas kanak-kanak dan remaja untuk memaklumkan masyarakat dan ibu bapa tentang lirik yang berciri eksplisit secara seksual, berorientasi dadah, atau keganasan di dalam CD dan kaset, video muzik, internet, dan teknologi terkini.
7. Masyarakat am dan ibu bapa khasnya harus peka dengan penggunaan amaran nasihat ibu bapa oleh industri muzik bagi kandungan eksplisit. Label nasihat ini adalah logo hitam putih yang boleh didapati di muka CD, kaset, album, kaset video, atau DVD. Ia mampu melindungi kanak-kanak daripada kandungan lucah dan melampau.
8. Artis-artis juga harus bertindak sebagai pembimbing positif kanak-kanak dan remaja.
9. Industri video muzik harus menerbitkan video-video dengan tema yang lebih positif mengenai hubungan, keharmonian kaum, penegahan penggunaan dadah, penyelesaian konflik tanpa kekerasan, penegahan seks, penegahan kehamilan, dan penegahan seks bebas.
10. Kajian selanjutnya ke atas kesan muzik popular, lirik, dan video muzik ke atas kanak-kanak dan remaja sangat penting dan harus diteruskan”. 107

Adalah nyata yang dunia hiburan Negara memerlukan satu kajian mendalam, bukan saja dari sudut hukum Islam, tetapi juga dari sudut pembinaan jatidiri bangsa Pengguna Malaysia, yang bolih bergerak sebagai satu bangsa yang mahu dan berjaya. Kita terpanggil untuk memberi dua contoh di mana dua hiburan telah di gunakan untuk meningkatkan jatidiri bangsa.

Nor Hashimah Jalaluddin & Zaharani Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam kertas kerja mereka HALLYU DI MALAYSIA: KAJIAN SOSIAL BUDAYA; menulis tentang pengaruh K Pop dan Drama korea, 

Sebagai peminat Islam mendedahkan kaki lebih dapat diterima berbanding dengan mendedahkan dada. Faktor ini juga penting dalam menarik perhatian remaja Islam. Dua lagi factor yang menjadi penarik ialah rentak pop yang segar dan pengaruh media.

Jelas sekali strategi yang diguna pakai oleh pihak Korea dalam mempromosi dan seterusnya mengeksport Hallyu menampakkan hasil yang positif di Malaysia. Ini secara tidak langsung memnatapkan lagi sosial budaya Korea di mata asing. Korea yang dahulunya tidak mendapat perhatian di Malaysia, kini telah menjadi destinasi idaman. Fenomena yang sama berlaku di Thailand, Indonesia, Taiwan, Jepun, China dan banyak lagi negara Asia telah turut melanda Malaysia. Ada faktor-faktor penarik dan strategi yang membolehkan Hallyu mencapai matlamatnya. Secara kasarnya kegigihan kerajaan Korea dalam mengeksport komoditi budaya adalah sangat terancang dan rapi serta mendapat kejayaan besar di peringkat antarabangsa.

Bukan niat penulis untuk mengatakan yang semua dari Korea itu sesuai pada masyarakat dan nilai kita, tapi apa yang mereka telah berjaya buat adalah menghasilkan karya positif.

Contoh kedua ia lah filem filem Bruce Lee, dan lain lain filem kung Fu China yang telah berjaya membangkit perasaan keagungun bangsa China itu sendiri.

Tidak di nafikan yang industri Filem tanah air telah menghasilkan karya yang membentuk jatidiri bangsa. P Ramlee telah banyak menghasilkan karya yang mempunyai nilai positive begitu juga filem seperti Left Adnan, Bukit Kepong, dan Tanda Putra. Tetapi jumlaah karya karya ini teramat sedikit dan perlu di tambah.

No comments:

Post a Comment