Wednesday, December 2, 2015

DR. HJ. JAHID HJ. SIDEK - TAREKAT SATU KEWAJIPAN (Bahagian 3)

(Sambungan Bahagian 2)

SUDUT KETIGA;
Kewajipan (wajib musabbab) beramal dengan tarekat tasawuf, dapat juga kita lihat dari sudut usaha memperbaiki kualiti amal. Kita diperintah oleh Allah melakukan sebaik-baik amal. Firman Allah:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

Maksudnya: “Allah yang menjadikan mati dan hidup (kamu) untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang dapat melakukan sebaik-baik amal. Dan Dialah Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk: 2)

Golongan ulul albab adalah merupakan manusia yang berjaya beramal dengan sebaik-baik amal, seperti yang Allah sebutkan dalam firmanNya:

فَبَشِّرۡ عِبَادِ ١٧ ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٨

Maksudnya: “…(ya Muhammad) sampaikanlah khabar yang mengembirakan para hambaKu (bahawa Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga). Mereka adalah orang-orang (mukmin) yang sentiasa mendengar (perintah Allah) dalam al-Quran, lalu mereka lakukan dengan cara terbaik. Merekalah orang-orang yang sentiasa mendapat hidayat Allah. Merekalah golongan ulul-albab.”

Ulul albab adalah segolongan umat nabi Muhammad (s.a.w) yang sentiasa terus menerus berdhikir dan tafakkur sehingga mereka mencapai tingkat tazakkur seperti yang Allah sebutkan dalam al-Quran ,(Surah Al-‘Imran, 191).

Hadis nabi menegaskan baiknya amal, bergantung kepada baiknya hati. Sabda Rasulullah (s.a.w.):

إن في جسد إبن أدم مضغة فإذا صلحت صلح ألجسد كله فإذا فسدت فسد ألجسد كله ألأ وهي ألقلب

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam jasad anak Adam ada satu mudghah, bila ia baik maka baiklah (perbuatan) seluruh anggota. Bila rosak maka rosaklah (perbuatan) seluruh anggota, itulah hati.” Bila kita membincangkan mengenai baik atau buruknya hati, maka kita akan menyentuh dua aspek hati yang penting, iaitu ahwal qalbiyyah (keadaan hati) dan maqamat qalbiyyah (sifat-sifat hati). Menurut sufiyyah, baiknya amal adalah kesan daripada baiknya hal keadaan hati (ahwal qalbiyyah).
Antara berbagai keadaan hati yang baik yang disebutkan oleh Allah dalam Quran yang mampu menjana amalan yang terbaik ialah:
1)      Hati yang lembut lawannya hati yang keras. Firman Allah:

ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمۡ وَقُلُوبُهُمۡ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ ٢٣
Maksudnya: “…kemudian lembutlah seluruh angota mereka dan hati mereka ketika mengingati Allah…” (al-Zumar: 23).

2)      Hati yang hidup yang bercahaya lawannya hati yang mati berada dalam kegelapan. Firman Allah:


أَوَ مَن كَانَ مَيۡتٗا فَأَحۡيَيۡنَٰهُ وَجَعَلۡنَا لَهُۥ نُورٗا يَمۡشِي بِهِۦ فِي ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُۥ فِي ٱلظُّلُمَٰتِ لَيۡسَ بِخَارِجٖ مِّنۡهَاۚ ١٢٢
Maksudnya: “Dan adakah orang yang mati (hatinya), kemudian Kami hidupkan dan Kami jadikan (dalam hati yang hidup itu) cahaya. Dengan cahaya itu dia dapat membimbing manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti orang yang hatinya mati berada dalam berbagai kegelapan, yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya…?” (al-An’am: 122)

3)      Hati yang sedar, khudur dan mutmainnah lawannya hati yang lalai atau ghaflah. Firman Allah:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨

Maksudnya: “(Golongan Munib) ialah mereka yang beriman dan hati mereka mutmainnah dengan dhikrullah, tidakkah dengan dhikrullah hati jadi mutmainnah.” (Surah Ar-Rad: 28)

4)      Hati yang sejahtera atau salim lawannya hati yang berpenyakit. Firman Allah:

إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ ٨٩

Maksudnya: “(Pada hari Akhirat, harta dan anak-anak tidak memberi faedah) kecuali orang yang dating kepada Allah dengan hati yang salim.” (Surah As-Syuara’: 89)

5)      Hati yang celik/nampak lawannya hati yang buta. Firman Allah:

فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ ٤٦

Maksudnya: “…sesungguhnya orang kafir bukanlah buta mata kepala, akan tetapi buta hati yang di dada. (surah al-Hajj: 46)

6)      Hati yang ikhlas lawannya hati yang tidak ikhlas seperti riya’, ujub, berpura-pura dan sebagainya.
Dapat ditegaskan di sini, hal keadaan hati golongan ulul albab mempunyai ciri-ciri hal keadaan hati yang disenaraikan di atas. Oleh sebab itulah mereka diakui oleh Allah, mereka dapat beramal dengan amalan yang terbaik.

SIFAT-SIFAT HATI
Menurut pandangan sufiyyah, hal keadaan hati (ahwal qalbiyyah) yang baik adalah kesan daripada sifat-sifat hati (maqamat qalbiyyah) yang baik. Ada sembilan atau sepuluh yang tersusun secara tertib dimulai dari sifat taubat.

1)         Taubat
2)         Sabar
3)         Syukur
4)         Khawuf (takut kepada Allah)
5)         Roja’ (bergantung hati kepada Allah semata-mata)
6)         Zuhud
7)         Tawakal
8)         Reda
9)         Mahabbah (cintakan Allah)
10)     Mengutamakan akhirat
Menurut pandangan sufiyyah, tidak ada amalan yang menyegerakan perubahan ahwal qalbiyyah dan maqamat qalbiyyah, kecuali dhikrullah. Yang dimaksudkan dhikrullah di sini ialah dhikrullah yang diajar di dalam tarekat tasawuf. 

(Sambungan Bahagian 4)

No comments:

Post a Comment