BERBAGAI SUDUT YANG MEWAJIBKAN
TAREKAT TASAWUF KE ATAS SESEORANG
Kewajipan (wajib musabbab) seseorang untuk bertarekat dengan mana-mana tarekat tasawuf dapat kita telitikan dari berbagai sudut seperti yang akan dijelaskan di bawah ini:
SUDUT PERTAMA:
Dhikrullah adalah prinsip utama yang sangat penting bagi ilmu tasawuf. Abu Qasim al-Junaydi al-Baghdadi (w.297H) menegaskan dengan katanya:
ذكر الله ركن قوي في هذا العلم بل لا يصل احد الي الله الا بدوام الذكر
Maksudnya: “Dhikrullah adalah rukun yang utama dalam ilmu tasawuf ini, bahkan seseorang mukmin tidak akan sampai (ke tingkat hakikat dan makrifah) Allah, kecuali ia sentiasa kekal berdhikir."
Dengan penegasan syeikh Abu Qasim tersebut, dapat kita lihat bagaimana kedudukan sebenar tarekat tasawuf dalam tasawuf. tarekat tasawuf tidak boleh dipisahkan dari tasawuf sama sekali. Memisahkan tarekat tasawuf dari tasawuf bererti merobohkan asas atau prinsip terpenting ilmu tasawuf. Nyata salahnya pandangan orang mengakatakan ;tarekat tasawuf tidak ada kena mengena dengan tasawuf.
Salah juga anggapan sesetengah cerdik pandai Islam; tasawuf sangat baik dipelajari dan diamalkan, tetapi tarekat tasawuf tidak perlu. Mereka yang berpandangan demikian, memberikan hujjah bahawa Imam Ghazali hanya bertasawuf tidak terlibat dengan tarekat tasawuf, boleh mencapai kedudukan yang tinggi sebagai salah seorang tokoh tasawuf yang unggul. Sila telitikan semua karya Imam Ghazali, pasti kita akan temui pelbagai fakta yang menunjukkan Imam Ghazali mengamalkan tarekat tasawuf.
SUDUT KEDUA;
Usaha meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai Allah ke tingkat hakikat dan makrifah, mesti menerusi amalan tarekat tasawuf. Kerana mengenal Allah mesti melalui dua tahap:
Tahap pertama, peringkat sama’ie dengan menggunakan akal. Di tahap ini, kita perlukan guru, kitab, akal yang cekap dan bijak dan kesungguhan. Insyallah kita akan dapat ilmu dan kefahaman tauhid. Di peringkat ini kita mengenal Allah dengan dua dalil, iaitu: Dalil Naqli (ayat maqruah) dan Dalil ‘Aqli (ayat mariyyah).
Tahap kedua, peringkat dhawqi (rasa rohani) yang biasanya akan didapati menerusi amal sentiasa kekal berdhikrullah, tafakkur/muraqabah dan tazakkur. Di sinilah letaknya kewajipan seseorang beramal dengan mana-mana tarekat tasawuf yang dipimpin oleh seorang sheikh mursyid. Apa yang dikurniakan terus oleh Allah ke dalam hati ialah hakikat dan ma’rifah. Allah berfirman :
وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ
Maksudnya: “Dan mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah dalam (jalan-jalan agama) Kami, nescaya Kami akan hidayatkan jalan-jalan agama Kami itu.”(Surah Al-Ankabut: 69)
Allah juga berfirman:
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱللَّهُۗ
Maksudnya: “Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan kurniakan kamu ilmu.”(Surah Al-Baqarah: 282)
Rasulullah (s.’a.w.) pernah bersabda :
من عمل بما علم ورثه الله علما ما لم يعلم
Maksudnya: “Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang ia ketahui, maka Allah kurniakan ilmu yang ia belum ketahui.”
(Sambungan Bahagian 3)
No comments:
Post a Comment