Tuesday, September 29, 2015

10 Penyakit Pengamal Tarekat (Yang Tersasar) - Bahagian 1

Oleh: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al - Khalidi
(Ahli Turuq Jilsah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Malaysia)

Terdapat berbagai penyakit batin yang sukar disedari oleh pengamal tarekat yang boleh membinasakan perjalanan zahir dan batin mereka kepada Allah. Antaranya ialah:

1. TERASA ADA AMALAN

Maksudnya seseorang itu merasakan bahawa dirinya itu telah banyak berbuat amal soleh, banyak sembahyang, puasa, zikir, banyak sedekah dan sebagainya lagi. Jika ada rasa demikian maka rosaklah perjalanan kerohaniannya. Rasa yang demikian itu bukan sahaja akan menimbulkan sifat riak, ujub dan sebagainya tetapi ianya boleh menyebabkan syirik atau menyengutukan Allah. Oleh kerana itu seseorang salik itu dikehendaki merasa-rasakan secara bersungguh-sungguh bahawa segala amalnya yang soleh itu adalah kurnia Allah semata-mata, hal Allah semata-mata, dari Allah semata-mata.

Setelah rasa begitu dapat dihayati sebenar-benarnya, maka InsyaAllah ia akan dikurniakan oleh Allah Tauhid Af’al atau tauhid pada perbuatan Allah, di mana seorang itu pada peringkat tersebut dapat melihat keesaan perbuatan Allah semata-mata akan tercapailah ketiga-tiga syarat bagi penerimaan amal iaitu ikhlas, fana’ (amalan diri dalam perbuatan Allah) dan benar-benar berasa bahawa tidak ada daya dan kekuatan kecuali Allah semata-mata. Kesimpulannya, bila terasa ada amal maka Tauhid Af’al tidak akan tercapai.

2. PANJANG ANGAN-ANGAN NAFSU KEDUNIAANNYA

Khalifah Ali (r.a.) pernah menyebutkan bahawa panjang angan-angan nafsu keduniaan itu adalah punca segala kesalahan atau dosa. Orang yang panjang angan-angan nafsu keduniaannya itu sentiasa lena dihayun oleh berbagai jenis angan-angannya itu. Pada setiap saat hatinya berkata-kata: “Aku akan buat ini, buat itu. Kalau aku buat ini akan jadi begini dan kalau aku buat yang lain akan jadi begitu…”

Tegasnya ia akan dilamun oleh berbagai fikiran dan rancangannya sendiri yang tidak akan ada titik perhentiannya sama sekali. Hal demikian adalah mengambarkan bahawa orang tersebut jahil terhadap Tauhid, sebab orang yang jahil Tauhid menurut Ibn Ata’illah hatinya sentiasa berkata: “Apakah yang akan aku buat”.

Orang yang benar Tauhidnya pula menurut beliau, hatinya sentiasa berkata:”Apakah yang Allah akan buat terhadap dirinya itu”. Di samping itu orang yang panjang angan-angan keduniaan itu hatinya akan menjadi gelap disebabkan berbagai gambaran kebendaan sentiasa memenuhi ruang di hatinya sehingga Allah tidak akan mendapat ruang di hati lagi, pada hal hati itu untuk Allah. Nabi bersabda, ertinya: ”Hati itu rumah Allah” Maksudnya hati itulah tempat yang dipilih dan dibersihkan oleh Allah dan dimuliakan sebagai jalan perhubungan antara Allah dengan hambaNya. Oleh itu hati itu tidak boleh dimasuki sesuatu yang lain selain dari Allah.

Samalah keadaan hati itu seperti Kaabah, kerana Kaabah itu adalah dikatakan sebagai Rumah Allah. Kalau Kaabah itu mesti bersih dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kesuciannya, maka begitu jugalah dengan hati, ia mesti bersih dari sesuatu yang mengotori ruang hati serta mengelapkannya.

Dari angan-angan keduniaan itu maka akan timbullah berbagai sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, gemar kemasyhuran dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa sebahagian daripada angan-angan keduniaan itu ialah angan-angan seorang itu mengenai akhirat, tetapi cita-cita dan angan-angan itu telah dikotori oleh berbagai kehendak nafsunya.

Ramai orang terjerat di dalam perangkap ini tidak dapat menyedari dirinya itu sendiri. Misalnya, seorang itu membanyakkan usahanya berzikir siang dan malam, tetapi hati kecilnya terlintas bahawa dengan berbuat demikan maka ia akan cepat menjadi wali atau menjadi seorang Syeikh atau lekas fana’ dan sebagainya.

Sepatutnya ia bercita-cita supaya dapat ma’rifatullah dan keredhaanNya. Demikian juga seorang salik yang berhenti dari kerja mencari rezeki atau berhenti dari belajar Ilmu Islam kerana didorong supaya cepat naik maqam atau cepat mencapai matlamat perjalanannya, kononnya jika ia menumpukan zikir dan beramal ibadat sahaja maka cepatlah sampai kepada matlamat yang dituju. Sebenarnya hal demikian itu masih dipenuhi nafsu keduniaan yang pada zahirnya macam cita-cita akhirat.

(Sambungan Bahagian 2)

No comments:

Post a Comment